Anwar Parlimen
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Tindakan mana-mana pihak menolak Bajet 2023 boleh dianggap seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, atas sebab itu, adalah lebih baik mandat diserahkan kembali kepada rakyat agar sebuah kerajaan yang mutlak bermandat diperoleh.

“Ia sekali gus mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelabur bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan stabil demi kemakmuran rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy yang menjangka Ahli-ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menyokong Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Waytha Moorthy membuat andaian Bersatu tidak mempunyai keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri ekoran pengisytiharan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama PN.

Pada masa yang sama, Asyraf Wajdi berkata, pemimpin-pemimpin PN membentuk 39 peratus daripada kerajaan sedia ada berbanding 34 peratus dari BN.

Namun, beliau mempersoalkan amalan ‘ugut-mengugut’ terhadap kerajaan yang dilakukan oleh pihak tertentu.

“Apakah ugut-mengugut seperti ini mampu memberikan persepsi dan sentimen positif kepada pemain-pemain industri dan pelabur dalam dan luar negara?” soalnya. – MalaysiaGazette