Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN ke-14 Perak.
Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN ke-14 Perak.

KUALA LUMPUR – Armada Nasional melalui biro pendidikannya menempelak Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang ‘seakan jelas menyokong’ tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng.

Exco Pendidikan Armada Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenyataan wakil rakyat DAP itu menyentuh sensitivi masyarakat.

Koo Ham dikatakan mempersoalkan tindakan kerajaan selama ini dengan menuduh kerajaan memungkiri janji Perjanjian Damai Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 antara pihak kerajaan pimpinan Dr. Mahathir Mohamad ketika itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Armada juga menolak kenyataan berbentuk falasi dari beliau sepertimana yang dilaporkan portal berita ‘Free Malaysia Today (FMT)’ bertarikh 27 Disember 2019 dengan tajuk “Did BN keep to agreement with communists, asks Ngeh”.

Namun, kata Mohd Ashraf, Koo Ham perlu sedar segenap hujah beliau menjadi satu dakwaan falasi apabila mendakwa kerajaan selama ini menolak kemasukan abu mayat Chin Peng itu tidak menghormati perjanjian tersebut.

“Ini kerana berdasarkan perjanjian yang termeterai dan ditandatangani pada 2 Disember 1989 tersebut, telah ditetapkan bahawa proses kepulangan bekas-bekas anggota Komunis (Bintang Tiga) ke Malaysia adalah berdasarkan tawaran ‘one-off’ di bawah perjanjian untuk menghentikan peperangan di antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaysia (PKM).

Di bawah perjanjian tersebut, mana-mana ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti memaklumkan hasrat untuk kembali ke Malaysia kepada pihak berkuasa di dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani.

Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim.

“Dari 431 ahli PKM yang telah memohon pulang ke Malaysia, hanya 338 orang diluluskan dan 93 orang lagi ditolak kerana tidak memenuhi syarat perjanjian.

“Dalam pada itu kerajaan tidak memaksa mana-mana anggota komunis untuk pulang ke negara ini. Mereka diberi kebebasan memilih sama ada untuk pulang atau terus tinggal di Selatan Thailand.

“Dengan pilihan one off tersebut, jelas tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia setelah peluang dibuka! Malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Selatan Thailand antaranya Chin Peng.

“Maka dia ‘tidak layak’ atau hilang status dalam konsep perjanjian damai apatah lagi telah mati di Selatan Thailand kenapa perlu dipertahankan hal yang tidak benar dengan manipulasi fakta atau berhujah falasi serta jelas menyenda-temehkan sensitiviti masyarakat di Malaysia?
.
“Mengapa Koo Ham selaku ahli parlimen mempersoalkan dan menuduh kerajaan selama ini sebagai tidak menghormati perjanjian? Kesetiaannya selama ini adakah kepada undang-undang negara ini? Di mana peranan Rukun Negara dalam jiwa seorang ahli parlimen seperti beliau?” soal Mohd. Ashraf.
.
Ternyata, katanya, Koo Ham perlu masuk semula ke kelas sejarah kerana amat memalukan kerana negara mempunyai seorang ahli parlimen dengan lagak bodoh sombong sepertinya.

“Dengan ini Armada turut menggesa Koo Ham untuk menyatakan pendirian beliau dengan jelas, samada beliau bersetuju dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membelakangkan peranan negara dan sensitiviti masyarakat dengan membawa masuk abu mayat Chin Peng atau khalayak Malaysia atau beliau seorang ahli parlimen yang berstatus pengkhianat kepada negara,” ujarnya.

Malah Mohd Ashraf tidak teragak-agak menulis surat kepada Istana Perak supaya menarik balik anugerah Datuk daripada Koo Ham sekiranya wakil rakyat DAP gagal menunjukkan pendiriannya. – MalaysiaGazette