Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Isu mahasiswa menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari ‘sugar daddy’ turut mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini menyatakan kebimbangannya dengan fenomena itu, yang memperlihatkan keruntuhan moral dan bertentangan dengan hukum syarak bagi yang beragama Islam.

“Saya terbaca laporan media seramai 12,705 mahasiswa menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari ‘sugar daddy’. Ia melibatkan penuntut IPTA dan IPTS di sekitar Lembah Klang. Fenomena ini bagi saya sangat membimbangkan.

“Ia bukan saja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, beliau tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal itu kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini.

Namun, kata beliau, laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari ‘sugar daddy’ berlaku selepas PKP 1.0, PKPB, PKPP dan PKP 2.0.

Malaysia dikatakan berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan ‘sugar daddy’.

“Mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi berikutan pandemik Covid-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian.

“Saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara ini dan saya sendiri akan berkomunikasi dengan Datuk Dr. Noraini Ahmad.

“Saya juga berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, jika benar disebabkan desakan wang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Pusat Zakat dan Baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan.

“Bantu mahasiswa dan jangan biarkan mereka hanyut,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Perkara itu turut dipandang serius oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, yang mahu masalah berkenaan diatasi secepat mungkin. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sugar Daddy dengan Sugar Baby diketahui umum or common knowledge sebagai pelacuran. Justeru ambil jer tindakan undang-undang seperti ke atas GRO.

Comments are closed.