Friday, March 29, 2024
Home Tag Pembiayaan hijau

Tag: pembiayaan hijau

UOB, SJPP peruntuk RM1 bilion untuk pembiayaan hijau PKS

KUALA LUMPUR - UOB Malaysia akan bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Malaysia (SJPP) untuk melancarkan program U-Green Financing yang akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjayakan usaha kemampanan mereka. Bank ini telah memperuntukkan RM1 bilion untuk program ini manakala SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS). UOB Malaysia adalah bank pertama untuk bekerjasama dengan SJPP dalam program pembiayaan hijau tersebut. U-Green Financing disediakan untuk PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang layak dua daripada semua industri yang ingin menyumbang kepada pembangunan bandar pintar dan mampan. Syarikat yang merancang untuk membangunkan atau membina bangunan hijau, memudahkan perdagangan hijau, ataupun menyumbang kepada ekonomi pekeliling juga layak untuk berbuat demikian. Ia terbuka kepada kedua-dua pelanggan sedia ada dan baharu, yang mana kemudahan ini disediakan dalam bentuk pinjaman berjangka, kemudahan overdraf dan pembiayaan perdagangan. Di samping menyediakan pembiayaan, UOB Malaysia juga akan bekerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk memperkenalkan siri bengkel berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Siri ini bertujuan melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan maklumat praktikal bagi memulakan perjalanan ESG mereka. Melalui siri bengkel ini, PKS dapat meraih manfaat daripada silibus yang dibangunkan bersama oleh MRANTI dan penyedia latihan yang diluluskan. Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata, dengan menjadikan pembiayaan hijau lebih mudah diakses, bank berharap ia dapat menggalakkan PKS menerima amalan perniagaan yang mampan. Ini akan meningkatkan profil ESG mereka, terutamanya jika mereka berminat untuk menyertai dan bersaing dalam rantaian nilai global. Selain U-Green Financing, UOB Malaysia juga merupakan Institusi Kewangan Peserta bagi Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia, serta Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau. Sementara itu, Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng berkata, cadangan kerjasama ini adalah selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Menurutnya, melalui skim jaminan ini, ia komited dalam menyokong usaha kerajaan menggiatkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor PKS. Pelbagai inisiatif dan polisi strategik dilaksanakan dengan tujuan merangsang dan membangunkan peluang perniagaan untuk sektor ini dan barharap U-Green Financing akan menggalakkan penerimaan amalan ESG oleh lebih banyak PKS dan syarikat korporat bersaiz sederhana. - MalaysiaGazette