Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Foto WAN NABIL NASIR, 15 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Tiga orang saksi yang sepatutnya dirakam keterangan dalam kes pemilikan beg berisi wang tunai kira-kira RM500,000 masih belum tampil membantu siasatan tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka merupakan rakan kepada pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu balak.

“Polis masih sedang menunggu mereka tampil segera untuk dirakam percakapan namun mereka memberikan alasan berada di luar negara.

“Siasatan masih diteruskan polis bagi mengenal pasti sumber wang terbabit yang didakwa untuk digunakan bagi perniagaannya,” katanya ketika di temui di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada jam 2.15 pagi tadi.

Pada 21 Mac lalu, pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah menjumpai beg berisi wang lebih RM500,000 di tempat letak kenderaan.

Hussein sebelum ini mengesahkan bahawa dalam kes berkenaan seorang pengarah syarikat kayu balak memberi keterangan kepada polis pada 30 Mac selepas mendakwa beg terbabit adalah miliknya.

Pengarah syarikat itu mendakwa beg yang mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa rekod dan bukti yang kukuh bagi menyokong dakwaan wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangannya direkodkan. – MalaysiaGazette