Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat gimik Pelancaran Kampus dan Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airlines Bhd (MAB) di Kampus MABA, Sepang. Foto AIZAT ZAINAL, 26 APRIL 2024.

SEPANG – Ahli akademik dari Amerika Syarikat (AS), Dr Bruce Gilley sepatutnya tidak perlu dibawa masuk ke negara ini sejak awal lagi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli akademik biasa tidak perlu dibawa masuk sebagai pensyarah pelawat, katanya.

“Menteri Pendidikan Tinggi sudah respon,” katanya ringkas mengulas mengenai kenyataan Bruce yang mendakwa Malaysia mahukan holocaust kedua.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kampus dan Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airlines Bhd (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengerusi Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Terdahulu, Universiti Malaya mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik AS menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Gilley dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa holocaust kedua terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Awal hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan Bruce Gilley sebagai biadap dan berbahaya.

Zambry mengingatkan terdapat perbezaan antara kebebasan akademik dengan menyentuh soal negara. – MalaysiaGazette