KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (PRK KKB) yang bakal diadakan pada 11 Mei ini.

Perkara itu disahkan Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz yang mengadakan sidang media bersama dengan PSM di sini hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi-pengundi di KKB melaksanakan hak mengundi membuat keputusan antara parti pemerintah penyandang dan parti pembangkang utama berdasarkan prestasi masing-masing khususnya kerajaan.

“Keputusan itu diambil bagi membolehkan pengundi-pengundi di KKB melaksanakan hak mengundi mereka dan mengemukakan referendum yang kuat terhadap prestasi Kerajaan Madani,” katanya.

Bagaimanapun kedua-dua parti berkenaan nekad untuk terus menjadi suara kepada rakyat khususnya melibatkan isu penting menerusi kempen rakyat dalam tempoh dua minggu nanti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Walaupun keputusan MUDA-PSM untuk tidak bertanding, ini tidak sesekali menjadi batu penghalang untuk suara rakyat menjadi perhatian utama MUDA-PSM.

“Isu-isu penting seperti kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, perumahan yang menekan golongan B40, penjagaan kesihatan awam yang semakin sempit adalah antara fokus yang perlu disegerakan oleh Kerajaan Madani.

“Malah MUDA-PSM akan menggunakan tempoh berkempen dua minggu pilihanraya kecil ini untuk melancarkan kempen-kempen rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menggesa supaya parti dan calon yang bertanding kelak supaya mempunyai kemampuan memenuhi aspirasi pengundi dengan memerangi politik perkauman, memperjuangkan rakyat berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum dan tidak terlibat dan menjauhi rasuah dan salah guna kuasa.

“Selain itu, juga perlu memperjuangkan keadilan kos sara hidup dan meningkatkan keselamatan sosial; memelihara dan memulihara alam sekitar dan menjamin hak demokratik rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan memohon maaf kerana parti itu tidak bertanding pada PRK KKB kali ini meskipunj wujud permintaan.

“Tetapi setelah satu perbincangan agak kritikal di antara Muda dan PSM kita tahu sistem elektrol negara kita isu utama dua parti ini walaupun ini PRK tetapi ia referendum nasional kita mahu pengundi di situ mengambil keputusan yang penting. Bagi kami kami bukan parti bermusim jadi kalau tidak bertanding pun bukan beerti kami tidak bekerja (untuk rakyat),” ujarnya.

Setakat ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao telah dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Manakala pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sebagai rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK itu adalah yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 dan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.- MalaysiaGazette