Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kini menawarkan pengecualian fi bagi Perkhidmatan Pendapat dan Carian Awal (PCA) bagi cap dagangan untuk tempoh sebulan sehingga 23 Mei depan yang tertakluk kepada terma dan syarat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, ia dibuat dengan tujuan menggalakkan lebih banyak pendaftaran cap dagangan serta untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan untuk melindungi hak harta intelek mereka.

Menurut beliau, MyIPO telah menerima sebanyak 61,600 permohonan harta intelek berbanding 59,699 dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.

“Daripada jumlah tersebut, 21,490 permohonan adalah permohonan harta intelek tempatan dengan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Untuk itu, MyIPO akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk meningkatkan pemfailan tempatan ke arah meningkatkan kreativiti dan eksploitasi harta intelek negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan menambah, bertemakan Harta Intelek Nadi Malaysia Madani, sambutan HHIN tahun ini menekankan kepentingan melindungi harta intelek sebagai asas kepada pembangunan negara yang berbudaya dan inovatif.

Kata beliau, pengiktirafan itu diberikan kepada pencipta dan pereka cipta terbaik serta organisasi yang berperanan dalam bidang harta intelek di mana Anugerah Harta Intelek Negara diadakan menerusi pertandingan yang dibuka kepada individu, syarikat swasta dan badan kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat multinasional.

“MyIPO telah menerima sebanyak 260 penyertaan di mana Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek merupakan anugerah tertinggi yang menawarkan hadiah berjumlah RM30,000.

“Selain itu, Anugerah Teknologi Hijau, Anugerah Karya Lestari, Anugerah Milenial dan Anugerah Permata turut memberi pengiktirafan kepada harta intelek yang menonjol dalam aspek teknologi hijau, kelestarian inovasi, kreativiti dan nilai komersial.

“Melalui pengiktirafan ini, MyIPO berharap dapat mendorong pencipta dan pereka cipta tempatan untuk terus menghasilkan inovasi yang bermakna bagi kemajuan negara,” katanya. – MalaysiaGazette