Pos Malaysia

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd merekodkan prestasi kewangan lebih baik bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 dengan kerugian bersih lebih rendah iaitu RM19.69 juta berbanding kerugian bersih RM27.66 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023.

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat itu memaklumkan perolehan pula meningkat kepada RM491.97 juta daripada RM482.27 juta bagi tempoh yang sama.

Pos Malaysia menjelaskan bagi suku pertama 2024, pihaknya meningkatkan jualan sebanyak 2.0 peratus kepada RM492 juta berbanding suku yang sama pada 2023.

“Pendapatan kami yang lebih baik disokong terutama oleh prestasi lebih positif merentas perniagaan mel dan bungkusan, dengan kedua-duanya merekodkan peningkatan volum pada suku pertama 2024 berbanding suku pertama 2023.

“Justeru, pasaran pos dan bungkusan masih merupakan persekitaran yang sangat mencabar, dan kami akan terus menumpukan kepada transformasi, perniagaan baharu diterajui margin dan pengurusan kapasiti untuk memastikan kami mempunyai asas untuk kemajuan berterusan sepanjang tahun ini,” menurutnya.

Pos Malaysia menambah, dalam sektor lain, Pos Aviation menjangkakan pertumbuhan berterusan susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan katering dan kargo dalam penerbangan.

Unit milik penuh tidak langsung, Pos Logistics Bhd pula meneruskan transformasi dengan memberikan lebih penekanan kepada sektor automotif, logistik pihak ketiga dan pergudangan, menurutnya.

“Kami kekal optimis namun berhati-hati bahawa syarikat akan merekodkan prestasi yang lebih baik pada 2024,” jelasnya.

Dalam kenyataan berasingan, Pos Malaysia memaklumkan Pos Logistics bercadang untuk menjual keseluruhan kepentingan ekuitinya (49 juta saham) dalam PNSL Bhd kepada SWA Shipping Sdn Bhd pada RM123.21 juta.

Cadangan penjualan itu akan membolehkan Pos Malaysia memanfaatkan dan merealisasikan nilai pelaburannya dalam PNSL, yang mewakili sebahagian daripada perniagaan bukan teras, menurut Pos Malaysia.

“Hasil daripada cadangan penjualan itu dijangka mengukuhkan kedudukan aliran tunai syarikat dan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan,” tambahnya. – BERNAMA