Oplus_0

KUALA LUMPUR – Semua pihak sama ada calon mahupun jentera parti yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diingatkan tidak mengeluarkan kenyataan boleh yang merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua pihak perlu mengelakkan tindakan provokatif termasuk menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan raja.

“Elak dan jauhkan apa sahaja elemen bersifat destructive dan tidak sesuai untuk diungkap dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita.

“Kempen ini cuma 12 hari, selesai kempen, kita balik, orang Kuala Kubu Bharu meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Jangan kita timbulkan keadaan yang tidak tenteram, serba-serbi mencakupi semua perkara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah kolaborasi PDRM dan DBKL bersama rakan strategik komuniti setempat di Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras.

Selain itu, Saifuddin juga berkata, perkara sama telah diingatkan kepada pasukan polis yang bertugas sepanjang PRK DUN Kuala Kubu Bharu agar patuh kepada undang-undang.

“Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah berjumpa sendiri dengan pasukan polis di Kuala Kubu Bharu semalam.

“Beliau mengingatkan polis mesti kekal sebagai satu pasukan penguat kuasa yang profesional dalam menjalankan tugas sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

“Kita nasihatkan supaya yang terlibat supaya patuh dengan semua undang-undang dalam negara kita, kawal tutur kata ucapan kita dan tulisan kita,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau percaya pengundi DUN Kuala Kubu Bharu akan membuat penilaian munasabah menilai calon Perpaduan yang diketengahkan.

“Calon kita ini muda, agresif, punya pengalaman kerja yang baik, latar belakang pendidikan baik, anak kelahiran Selangor, punya pengalaman berkhidmat di dalam parti dan kerajaan.

“Saya percaya dengan memilih calon ini, Kuala Kubu Bharu akan dapat diwakili oleh seorang calon yang mudah untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan di peringkat negeri dan kerajaan pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette