KUALA LUMPUR – Selepas terpalit dengan isu kontroversi menjemput profesor pro-Israel, Bruce Gilley sebagai speaker jemputan, hari ini Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM) memohon maaf kepada seluruh rakyat, Kerajaan Malaysia, KPT dan warga universiti itu.

Dalam kenyataan ringkasnya, jabatan itu melahirkan rasa amat kesal dengan kenyatan tidak bertanggungjawab Gilley pada 24 April lalu.

“Dengan penuh kekesalan, jabatan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan warga Universiti Malaya di atas insiden ini.

“Jabatan amat memandang berat dan serius terhadap perkara ini dan akan menambah baik proses tapisan, perancangan dan penganjuran program bagi memastikan platform yang diberikan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, tambahnya akan mengambil pendekatan penambahbaikan di peringkat jabatan itu dengan segera.

Gilley telah dijemput Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 hingga 24 April lalu.

Dalam program Visiting Professor Program 2024, Gilley yang menyampaikan syarahan bertajuk “Will Malaysia Become an Active Middle Power?” telah mengeluarkan kenyataan berbunyi “A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States”.

Kenyataan yang dikongsikannya di laman X, yang kemudian mencetuskan kemarahan mahasiswa UM dan pelbagai pihak.

KPT dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan mengarahkan program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah berkenaan dibatalkan segera.

UM kemudian tampil memohon maaf kepada semua pihak sambil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat seorang profesor dipercayai pro-Israel, ketika tampil sebagai penceramah jemputan universiti itu. – MalaysiaGazette