Lima mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan MHO semalam. Kredit foto: MHO

KUALA LUMPUR – Sindiket di negara Kemboja didakwa sudah kembali menjalankan aktiviti pemerdagangan manusia dengan mengerah mangsa melakukan pelbagai aktiviti haram seperti penipuan ‘scam’.

Apa yang lebih membimbangkan adalah mangsa sindiket ini dalam kalangan rakyat tempatan di sini yang diumpan bekerja di luar negara dengan gaji lumayan.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya menjangkakan dalam beberapa bulan ini Kemboja akan ganti kedudukan Myanmar dalam sindiket ini kerana  sedang bergolak  ekoran konflik bersenjata.

“Semalam kita berjaya selamatkan lima mangsa jenayah itu, mereka berjaya pulang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini awal pagi.

“Mereka terdiri dua mangsa yang diselamatkan dari Myanmar dan Laos serta seorang dari Kemboja dengan kesemuanya adalah lelaki berusia bawah 30 tahun.

“Kebanyakan maklumat kita terima, banyak pusat sindiket itu ditutup antaranya di KK Garden yang terkenal dengan kegiatan tersebut.

“Mereka sudah berpindah secara senyap dan berperingkat menuju ke Laos sebelum memasuki Kemboja menerusi pelbagai jalan darat rahsia di sekitar Thailand, kita memang risau kerana isu pemerdagangan manusia sudah beberapa tahun menghantui kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hishamuddin Hashim

Kata Hishamuddin, pihaknya seringkali dicari oleh keluarga atau kenalan terdekat apabila ada mangsa yang sepatutnya mendapat pekerjaan dan bekerja di negara tertentu akhirnya terperangkap dengan sindiket seumpama ini.

“Sudah tentu kita mendapat kerjasama daripada pihak berwajib yang akan bantu kita bawa keluar mangsa. Bukan satu usaha yang mudah, tapi kita bimbang kerana perkara ini belum nampak kesudahannya.

“MHO harap untuk perbanyakkan kerjasama dengan pihak berwajib, ada strategi bukan sahaja menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap sebaliknya juga jalan penyelesaian bagi memuktamadkan sindiket ini daripada menjadikan rakyat kita tebusan,” tegasnya. -MalaysiaGazette