Calon Perikatan Nasional N.06 Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menghantar borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

KUALA KUBU BHARU – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut enggan mengulas dakwaan tidak mempunyai ijazah tapi mempunyai sarjana daripada universiti tempatan.

Khairul Azhari yang ditemui media berkata, dia akan menjawab isu berkenaan tidak lama lagi.

“Saya tidak mahu komen tentang daowaan itu. Saya nak fokus kepada kempen pilihan raya. Saya jawab kemudian,” jawab Khairul Azhari selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Dalam poster pilihan raya yang diedarkan kepada umum menyaksikan Khairul Azhari memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang pada 2021.

Dalam pada itu, pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak menjadi isu sama ada Khairul Azhari mempunyai ijazah atau tidak kerana beliau telah mengikuti kursus-kursus tertentu.

“Soal sama ada diiktiraf oleh kementerian itu bukan menjadi pertimbangan mana-mana pelajar ataupun mereka yang mengambil kursus tersebut.

“Bagi mereka yang sudah ada pengalaman berkerja biasanya dia akan mengambil tempoh kursus eksekutif dalam tempoh yang singkat untuk beri tumpuan dalam bidang tertentu,” katanya dalam sidang media sama.

Sebelum ini, netizen memuatnaik video di aplikasi Tiktok mempersoalkan kelayakan akademik yang dipaparkan di poster kempen pilihan raya Khairul Azhari.

Netizen mendakwa, perkara itu janggal seolah-olah Khairul Azhari tidak melalui proses biasa pengajian.

Persoalan yang dilontarkan adalah mengenai kesahihan akademik tersebut di mana Diploma Eksekutif hanya merupakan sijil yang tidak memerlukan tempoh pembelajaran sehingga dua tahun dan lebih. – MalaysiaGazette