Anggota polis mengawal lalu lintas jalan raya berdekatan Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bagi proses penamaan calon di Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

KUALA KUBU BHARU – Kurang satu jam daripada tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bermula pagi ini, Parti Orang Asli Malaysia (Asli) mengumumkan pihaknya menarik diri daripada bertanding.

Menurut Presidennya, Rashid Ka’ berkata, keputusan itu dibuat disebabkan masalah teknikal.

“Dukacita saya nak maklum kita (Asli) menarik diri dan tidak akan meletakkan calon dalam PRK KKB.

“Keputusan dibuat disebabkan masalah teknikal. Begitulah nasib kami orang asli. Kami sangat sedih, borang pencalonan sudah dibeli dan tunggu nak serah pagi ini, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah benar kami guna logo Asli tapi tidak kesampaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan langkah itu, PRK Kuala Kubu Baharu memungkinkan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut.

Setakat ini, belum ada tanda-tanda calon bebas akan turut mengemukakan borang penamaan pagi ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan sebanyak enam borang pencalonan dibeli parti bakal bertanding.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Kuala Kubu Baharu mempunyai seramai 40,226 pemilih layak mengundi pada PRK itu dengan pecahan Melayu (46%), Cina (30%), India (18%), dan lain-lain (5%). – MalaysiaGazette