Pertembungan yang berlaku di antara dua pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, tengah malam tadi. Ihsan Foto: JBPM

KUALA KRAI – Tiga orang maut manakala lima yang lain cedera parah dalam dalam nahas yang melibatkan dua buah pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, pada jam 12.36 malam tadi.

Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Razani bin Mamat, mangsa yang terkorban itu terdiri daripada seorang wanita dan dua orang lelaki.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan, pihaknya terus bergegas ke lokasi kecemasan dan mendapati kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux yang telah bertembung dengan Ford Ranger.

“Anggota bomba telah melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Toyota Hilux menggunakan peralatan khas ‘Rescue Power Unit’.

“Pertembungan itu mengakibatkan tiga orang meninggal dunia dan lima yang lain mengalami kecederaan parah,” katanya.

Beliau juga menambah, dua lelaki yang maut menaiki kenderaan Toyota Hilux dan mangsa wanita pula dari kenderaan Ford Ranger.

“Kesemua mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala mereka yang cedera parah telah dibawa ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Kuala Krai,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette