Foto: JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) dalam Operasi Khas di Setapak, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor dan pada 25 April lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusih berkata, berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga buah premis dan telah menahan dalang utama iaitu seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 50 tahun.

Tambah beliau, turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia dan seorang perempuan warga Indonesia, masing-masing berusia 25 dan 35 tahun dipercayai berperanan sebagai ‘promoter online’ produk kosmetik dan kecantikan.

“Hasil semakan awal mendapati, seorang perempuan warganegara Indonesia yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sahlaku, seorang perempuan warganegara Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini dan seorang lelaki warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa,” katanya menerusi kennyataan, hari ini.

Operasi tersebut bermula pada jam 12.15 tengahari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya
dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Menurut Ruslin, dalam operasi itu, pihaknya merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM3,263 dan IDR3,271,000.00.

Jelasnya, modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara ‘online’ melalui ejen pada harga RM159 setiap satu.

“Sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” ujarnya.

Ruslin berkata, kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

Katanya,  seorang lelaki warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, warga asing yang ditahan itu juga akan disiasat oleh KKM kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – MalaysiaGazette