Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut menyantuni penduduk setempat pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu di sekitar Bandar Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2024.

BATANG KALI – Pas mengambil pendirian berbeza dengan MCA yang terus memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kepimpinan pusat telah mengarahkan Pas Selangor untuk turun berkempen bersama-sama dengan calon PN, Khairul Azhari Saut.

“PH ini mainkan isu Pas seolah-olah boikot untuk menunjukkan ketika seimbangan dalam PN sedangkan konflik itu berlaku dalam PH-BN apabila komponen parti dalam kerajaan Madani (MCA) tidak turun berkempen bagi pihak mereka.

“Kita berbeza dengan MCA sebab jentera Pas solid turun ke PRK KKB,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama (BGU) PN, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai ketidakhadiran pemimpin utama Pas dalam siri kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurut Mohamed Sukri, dakwaan bahawa Pas bertindak memboikot PRK itu adalah tidak benar kerana terdapat pemimpin utama Pas akan turun berkempen dalam masa terdekat.

“Pas pusat memutuskan agar Pas Selangor untuk berada di sini sepenuhnya dan tidak dibenarkan pergi ke program di Perlis melainkan semua berada di sini.

“Pembahagian itu telah berlaku dengan Pas Selangor dan Pas pusat akan turun ke KKB dalam siri kempen.

“Ada kita boleh lihat waktu pengumuman calon pengarah pilihan raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turun berceramah jadi tidak timbul soal boikot,” jelasnya.

Dalam pada itu, PN Selangor berkata, pihaknya dalam perbincangan untuk membuat petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai dakwaan salah guna kuasa dan jentera kerajaan bagi tujuan pilihan raya.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) didakwa menyalahguna dana berjumlah RM5.21 juta selain pengajuran Rumah Terbuka Kita Selangor di Kuala Kubu Baharu semasa kempen PRK berlangsung.

“Petisyen ini sedang dibincangkan oleh pegawai undang-undang kami dan itu mungkin akan jadi satu perkara yang akan dipertimbangkan oleh parti,” katanya.

Petisyen itu, kata Mohamed Sukri, termasuk dalam Akta Pilihan Raya 1954 (AKPR) iaitu menggunakan aset kerajaan. – MalaysiaGazette