Pengarah JIM Pahang, Muhammad Hatta Kassim

BERA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang  menghantar pulang seramai 109 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarahnya, Muhammad Hatta Kaasim berkata, penghantaran  secara berperingkat itu menerusi program pemindahan PATI yang dikendalikan oleh Depot Imigresen Kemayan di Bera.

Seramai 40 PATI adalah warga Indonesia terdiri daripada 36 orang lelaki dan empat orang perempuan dihantar pulang  semalam menggunakan perkhidmatan feri Indomal Kingdom Fast Ferry dari Kompleks ICQS, Melaka ke Pelabuhan Dumai, Indonesia.

”Manakala seramai 69 orang PATI warga Kemboja, China, Vietnam, Nepal, Pakistan, Filipina, India, Bangladesh dan Sri Lanka dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu 48 orang adalah lelaki, 18 orang perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan.

Muhammad Hatta berkata, penghantaran pulang PATI itu merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Pahang.

Katanya, mereka yang dilanhar pulang telah selesai menjalani hukuman setelah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette