Tim Media (kiri) dan Pilihan UPM bergambar kenang-kenangan sebelum perlawanan sepak takraw persahabatan di Pusat Sukan UPM dengan sepanduk penaja tim, Pallas Rejam.

KUALA LUMPUR – Tim Media memanfaatkan sempena kehadiran bulan Syawal dengan menjalin silaturahim menerusi perlawanan sepak takraw persahabatan dengan Pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Sukan UPM, Serdang baru-baru ini.

Tim yang menggabungkan para pengamal media dalam talian, agensi Kementerian Komunikasi, syarikat cetak dan artis bebas tewas empat regu dan seri satu pada perlawanan yang memakan masa lebih dua jam itu.

Namun Tim Media tidak memburu keputusan perlawanan dalam sistem kiraan baharu 15 mata servis satu persatu ini apatah lagi para pemainnya baru kembali dibentuk dalam ‘Reunion 11 Syawal’ dan hanya menjalani dua sesi latihan mingguan selepas kali terakhir aktif pada 2015.

Tim yang diuruskan wartawan sebuah portal, Abdul Hafiz Ahmad dan mendapat khidmat nasihat legenda emas sepak takraw 80-an dan 90-an, Sha’ari Hashim jelas akur dengan tuan rumah yang diperkasa pemain-pemain Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Media dengan pengurus, Abdul Hafiz Ahmad dan jurulatih undangan, Sha’ari Hashim (empat dan lima dari kanan) bergambar di belakang sepanduk penaja tim, Pallas Rejam sebelum perlawanan sepak takraw persahabatan menentang Pilihan UPM.

Sentuhan sulung Tim Media, Mohd. Shuib Ab. Latip (tekong), Taufik Al Hakim Ahmad Kosnan (perejam) dan Noorshafik Othman/Khairul Faizee Mahmod (pengumpan) berbalas dengan kecundang 8-15, 9-15 kepada Pilihan UPM pimpinan Mohd. Razizi Midin yang juga pengurus pasukan pelapis Malaysia B.

Sekali pun menunjukkan tentangan sengit, Khairul Azra Ghazali, Nazizul Najhan Saarani dan Khairul Idlan Abd. Razak turut dihampakan regu kedua tuan rumah 13-15, 12-15 malah semangat pantang menyerah Mohamed Syamsul Adlien Md. Nazri, Taufik dan Noormanshah A. Rahman tetap disekat lawan, 12-15, 12-15.

Shuib, Azra dan Idlan hampir menyambar satu kemenangan buat pelawat sehingga berjaya memenangi set pertama regu keempat, 17-16 namun Pilihan UPM cukup liat untuk dilenturkan lalu mengikat 1-1 dengan kemenangan set kedua, 15-10.

Nasib yang sama turut mengekang kebangkitan saat akhir regu kelima Tim Media – Faizee, Nazizul dan Noorshafik apabila mereka ditewaskan lawan yang jauh lebih muda dan cergas selain bakal dipersiapkan ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) dengan 9-15, 16-17. – MalaysiaGazette