Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor┬ábagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis terkorban dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram.

Permaisuri Agong yang tiba kira-kira 11.35 pagi turut menyertai tahlil dan doa ringkas sebagai penghormatan terhadap jenazah dua anggota polis.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Rohani Azmi turut hadir mewakili kerajaan negeri.

Terdahulu, kira-kira 500 anggota polis, kenalan dan waris menunaikan solat jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram pagi ini.

Solat jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said diadakan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,bermula jam 10.40 pagi tadi.

Solat jenazah diketuai oleh Imam Daerah Johor Bahru, Mohd Nazri Ali .

Kedua-dua jenazah dibawa ke Pahang dan Perak untuk dikebumikan di kampung masing-masing.

Jenazah pertama, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun dibawa menaiki van jenazah polis menuju ke Kuantan, Pahang pukul 11.50 pagi.

Manakala jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dibawa ke Bidor, Perak pukul 11.54 pagi. – MalaysiaGazette