Sekitar kemeriahan Rumah Terbuka Aidilfitri UTeM yang diadakan penuh kemeriahan bertempat di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka, semalam.

MELAKA – Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dimeriahkan lebih 10,000 tetamu yang datang membanjiri pekarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM semalam.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr Massila Kamalrudin, Majlis Mahabbah Aidilfitri tahun ini membawa kelainan kerana dianjurkan pada waktu malam.

“Hal ini merupakan salah satu cara untuk menonjolkan lagi kemeriahan Aidilfitri dan inisiatif untuk mengimarahkan lagi masjid ini.

“Objektif penganjuran rumah terbuka juga bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan ukhuwah silaturrahim antara seluruh warga UTeM sama daripada golongan pendidik, pentadbiran pengurusan serta golongan pelajar.

“Ini seiring dengan pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Kesihatan Kesejahteraan Baik (SDG 3) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Pada majlis ini, UTeM turut meraikan seramai 25 orang jemaah Haji UTeM untuk tahun 2024 dengan pemberian sumbangan tunai kepada setiap jemaah haji sebanyak RM300 melalui tabung kewangan masjid dan Badan Kebajikan Staf UTeM (BAKUTeM).

“Kami berharap sumbangan yang diberi akan sedikit sebanyak membantu persediaan ahli jemaah dalam menjalani ibadah haji tidak lama lagi,” ujarnya lagi.

Majlis Mahabbah Aidilfitri UTeM telah diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan seperti Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adl Abd Halim serta EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTeM, Datuk Dr Husaini Omar. – MalaysiaGazette