Antara aktiviti yang diadakan bersama pelajar Tunas Bakti Taiping.

TAIPING – Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Kolej Harun Aminurrashid telah
mengadakan Program “Eratkan Hubungan, Jalinkan Kemesraan” di Sekolah Tunas Bakti, Taiping, Perak.

Pengarah program, Anwarul Syahmi Ismail berkata, seramai 40 orang mahasiswa UPSI terlibat dalam sesi ramah mesra bersama pelajar Tunas Bakti.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi dan motivasi pelajar baik dari segi pembelajaran akademik mahupun pembinaan sahsiah dan etika.

“Nilai-nilai kesukarelawanan dan sahsiah didedahkan kepada pelajar bagi memperkasa kemahiran kepimpinan, sosial serta rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi ramah mesra, slot motivasi dan aktiviti explore race, selain mencating batik yang diadakan dengan bimbingan Pemilik Tanuntaya Enterprise, Bismi Intanti Abu Bakar.

Menurutnya, program ini membantu meningkatkan motivasi diri dalam kalangan pelajar yang pernah terlibat dengan kesalahan jenayah dan membina sikap positif, membentuk peribadi yang kukuh dan melengkapkan diri dengan keterampilan bagi membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat.

Tambahnya lagi, program sebegini memberi nilai tambah baharu kepada pelajar-pelajar
Tunas Bakti untuk membina jati diri yang lebih unggul dan daya fikir yang kreatif.

Dr Che Anuar Bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid berkata, UPSI akan sentiasa menyokong program kemanusiaan kerana ini dapat melatih mahasiswa untuk lebih bertanggungjawab sosial dengan memupuk semangat kesukarelawan dalam membantu masyarakat.

“Program ini adalah pendedahan kepada mahasiswa untuk lebih banyak membantu
masyarakat dan bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan. Kami harap dapat
membantu pelajar di Tunas Bakti memahami norma-norma sosial yang diterima,
memperbaiki kemahiran komunikasi dan memperkasa keyakinan diri dalam membuat
setiap tindakan.

“Aktiviti sokongan yang dilakukan juga membantu mengatasi masalah perilaku dan memberi satu semangat baharu untuk membina karakter yang lebih positif,” ujarnya. – MalaysiaGazette