Seorang pemuda maut selepas melanggar sekor kerbau di Felda Panching Timur, Kuantan dalam nahas pagi tadi

KUANTAN – Seorang chef maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau di Felda Panching Timur, Kuantan hari ini.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Muhammad Firdaus Mohamad, 28, disahkan maut di lokasi nahas akibat kecederaan parah.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa yang bekerja di sebuah hotel, di sini, menaiki motosikalnya dipercayai dari arah Felda Panching Timur menghala ke arah Kuantan.

“Kejadian  kemalangan jalan raya berlaku pada jam 5.30 pagi tadi di mana mangsa menunggang Yamaha YZR-R15 di Jalan Sungai Panching Timur.

“Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, ketika mangsa sedang bergerak lurus tiba-tiba telah melanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Wan Mohd Zahari, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai tiga rekod saman lampau.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi proses bedah siasat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette