PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan akhir seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen, terhadap sabitan dan hukuman penjara sehari serta denda RM12,000 atas kesalahan menerima rasuah berhubung prosiding mahkamah.

Ahmad Zaidi memutuskan demikian atas alasan beliau merupakan panel tiga hakim dalam kes lucut hak wang membabitkan perayu sama, bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu Azmil Muntapha, 50.

“Saya sahkan saya seorang panel hakim dalam kes melibatkan lucut hak perayu. Sebelum ini saya ada membaca rekod rayuan (kes rasuah) dan saya terlepas pandang…untuk adil kepada perayu, saya menarik diri daripada mendengar rayuan kes ini (rasuah),” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Mohamed Zaini Mazlan.

Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Azmil Muntapha memaklumkan kepada panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah bahawa, beliau diberitahu oleh anak guamnya bahawa Ahmad Zaidi merupakan seorang daripada panel tiga hakim mendengar dan membuat keputusan dalam kes lucut hak perayu.

“Pihak kami memohon agar Hakim Ahmad Zaidi tidak mendengar rayuan hari ini (kes rasuah) kerana kedua-dua kes membabitkan fakta sama,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal, yang mengesahkan kedua-dua kes membabitkan fakta sama berkata kes lucut hak telah dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, dan Ahmad Zaidi merupakan seorang panel hakim dalam kes berkenaan.

Pada 20 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Azmil Muntapha dan ahli perniagaan Leong Peng Woon untuk mendapatkan semula wang RM182,100 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hari ini ditetapkan untuk mendengar rayuan Azmil Muntapha dan rayuan silang pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2023.

Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan tarikh baharu pada 7 Ogos untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 19 Okt 2022, Azmil Muntapha dihukum penjara enam bulan dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 berhubung prosiding mahkamah.

Azmil Muntapha sebagai Hakim Mahkamah Sesyen didakwa telah memperoleh wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding berkaitan dengannya, iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong, yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam, pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.- BERNAMA