Calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao tidak akan mudah membuat janji manis dalam melakukan sesuatu perubahan di Kuala Kubu Baharu sekiranya beliau diberi mandat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Sebaliknya, beliau akan terlebih dahulu membuat kajian mengenai situasi semasa dan keperluan untuk membawa sesuatu perubahan untuk masyarakat setempat di kawasan tersebut.

“Jadi, saya tidak boleh janji bahawa saya akan membawa syarikat ni sampai Kerling, bawa mana-mana sampai sini, itu memang bagi saya janji manis.

“Jadi, kita kena kaji situasi semasa dan keadaan setempat,” kata Sock Tau ketika ditemui selepas melakukan walkabout di Kampung Pasir, di sini.

Beliau ditanya media mengenai rungutan segelintir penduduk di kawasan Kerling, di sini, yang mahu supaya diwujudkan kedai serbaneka ekoran mereka terpaksa berkelana jauh ke Kuala Kubu Baharu atau Batang Kali bagi mendapatkan barangan harian.

Menurut Sock Tao lagi, penduduk tidak terlalu menghadapi banyak masalah berhubung perkara tersebut kerana kerajaan Selangor sering mengadakan jualan rahmah dan kawasan-kawasan di dalam DUN Kuala Kubu Baharu tidak terlepas daripada dikunjungi.

Katanya, menerusi jualan rahmah itu juga penduduk boleh mendapatkan barangam keperluan dengan harga lebih murah berbanding di luar.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sock Tau berkata, beliau yakin telah menyantuni semua pengundi di Kuala Kubu Baharu sepanjang berkempen selama 12 hari lalu.

“Semua tempat di Batang Kali, Kerling, Rasa dan semua kita dah cover dan dalam madsa yang berbaki kurang daripada 48 jam kita akan terus mendekati pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Kita akan dekati pengundi-pengundi Melayu, Cina dan India serta akan terus memberi penjelasan seramai mungkin untuk pastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya. – MalaysiaGazette