Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semasa lawatan kerja ke Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Golok. AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI, 03 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Jambatan baharu yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Thailand akan dimulakan pembinaannya pada April tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, pergerakan rakyat kedua-dua negara menggunakan pintu masuk itu setakat Julai lalu mencecah 600,000 orang.

Jelas beliau, agensi baharu dengan fungsi mengawal pintu masuk sempadan negara (MCBA) juga sudah beroperasi di situ.

“Semoga kemakmuran dapat dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, memetik laporan Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang.

Menurut Anwar, perkara itu antara yang diputuskan semasa pertemuan bersama rakan sejawatan beliau dari Thailand Srettha Thavisin, selepas bersama- sama mengadakan lawatan kerja di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, Kuarantin) Sungai Golok di Narathiwat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, kedua-dua negara įuga memutuskan untuk mempercepatkan pembangunan dan pembersihan muara Sungai Golok, yang pastinya akan membantu rakyat Selatan Thailand dan di Kelantan daripada masalah banjir.

Perdana Menteri berkata, penjelasan lanjut mengenai pelbagai isu yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin, akan diumumkan dalam sidang media selepas ini.

Terdahulu, Anwar dan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin mengadakan lawatan kerja ke Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand hari ini.

Lawatan itu bertujuan menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, iaitu satu daripada inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara. – MalaysiaGazette