Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta melakukan kajian berhubung kes kematian dalam tahanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memperbetulkan sebahagian kes kematian yang dilaporkan adalah benar namun sebahagiannya hanya sekadar persepsi.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain juga memberi jaminan secara terbuka di mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk bekerjasama dengan Suhakam berhubung perkara yang sama.

“Yang menyiasat itu, polis, yang menjatuhkan hukuman itu hakim. Sebelum dijatuhkan hukum, mereka (suspek) jangan dihukum terlebih dahulu.

“Kita memerlukan produser yang jelas dan perlindungan yang sewajarnya kerana sebahagian benar dan sebahagian hanya persepsi.

“Kerajaan melalui PDRM sudah mengambil langkah sewajarnya dalam membendung kematian dalam tahanan,” katanya ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Hari Suhakam Ke-25 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2024.

Pada tahun 2022, sebanyak 24 kes kematian dalam tahanan direkodkan berbanding 46 pada 2021 dan daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes membabitkan kematian yang berlaku di dalam lokap polis.

Sementara itu, Anwar memahami peranan Suhakam dalam mempertahankan hak asasi dan keadilan berdasarkan pengalaman peribadinya.

Perdana Menteri mengimbas nostalgia itu berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta ahli keluarganya pernah ke pejabat Suhakam ketika ditimpa kesusahan suatu ketika dahulu.

“Ini cukup bukti saya faham peranan Suhakam daripada pengalaman peribadi dan saya percaya ribuan yang lain juga merasakan perlu agensi seperti Suhakam kerana peranannya mempertahankan hak asasi dan keadilan bagi semua,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2024.