Caption gambar: Akmal semasa melawat ke IPD Kluang dan Taman Perumahan Polis Daerah Kluang di Jalan Padang Tembak, Kluang hari ini.

KLUANG – Kerajaan memperuntuk RM127 juta untuk kerja baik pulih serta selenggara kuarters dan balai polis seluruh negara menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberitahu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM44.35 juta diperuntukkan bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan balai polis sedia ada.

“Sebanyak RM77.65 juta lagi bagi pembaikan dan penyelenggaraan 3,716 unit kuarters di seluruh negara.

“Sementara RM3.7 juta diperuntukkan termasuk untuk tambah baik 10 blok kuarters dan kerja pembaikan premis bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang,” katanya.

Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke IPD Kluang dan Taman Perumahan Polis Daerah Kluang di Jalan Padang Tembak sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad, Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh.

Akmal berkata, sebelum itu Kementerian Ekonomi memperuntukkan RM122 juta bagi projek pembaikan dan penyelenggaraan kuarters dan balai polis seluruh negara bagi RP1 2026 RMK13.

Namun katanya, kemudian bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta melalui Notice of Change (NOC), menjadikan keseluruhan peruntukan projek ini meningkat daripada RM122 juta kepada RM127 juta.

“Kerja-kerja naik taraf sudah boleh dimulakan hari ini namun perlu disiapkan sebelum akhir tahun 2026,” katanya.

Kerajaan Persekutuan katanya, akan terus memastikan pelaksanaan projek pembangunan terbabit di bawah RMK13 dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Jelasnya, ia dengan memberi keutamaan kepada aset awam yang memerlukan intervensi dan mempunyai implikasi terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Pendekatan ini melihat prestasi aset secara menyeluruh sepanjang kitar hayatnya iaitu daripada perancangan dan pembinaan kepada operasi, penyelenggaraan, naik taraf dan akhir hayat aset.

“Ini akan mengambil kira asset condition, asset performance dan life–cycle costs bagi mengoptimumkan perbelanjaan kewangan Kerajaan,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Ekonomi akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan pengurusan aset awam dilaksanakan secara lebih bersepadu berasaskan data dan berorientasikan prestasi supaya pelaburan awam dapat memberi manfaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here