Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh

PUTRAJAYA – Tempoh tugasan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk utama negara akan dipendekkan menerusi kaedah pusingan kerja dalam usaha menangani masalah salah laku.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tempoh akan dipendekkan antara tiga hingga setahun jika diperlukan berbanding lima tahun ketika ini dengan menukarkan pegawai yang telah bertugas terlalu lama dan didapati tidak sesuai bertugas di pintu masuk utama.

“Kami akan buat pusingan kerja secara berterusan termasuklah di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kompleks Sultan Abu Bakar, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

“Tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada para pegawai yang didapati bersalah melanggar akta, peraturan, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan tetap ketua pengarah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen, di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, langkah tersebut juga diambil untuk memastikan pegawai yang menjaga pintu masuk negara adalah seorang yang berintegriti.

Tambah beliau, pihaknya juga sering melakukan pemeriksaan mengejut di pintu masuk utama bagi memastikan pegawai bertugas mematuhi prosedur dan tidak bertindak melanggar peraturan.

Katanya, sebanyak 277 pemeriksaan mengejut dilakukan untuk tempoh antara tahun lalu hingga kini. – MalaysiaGazette