Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semasa lawatan kerja ke Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Golok. SYARULAZIS/PEJABAT PERDANA MENTERI, 03 OGOS 2024.

PASIR MAS – Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang dekat sini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan semasa pertemuan bersama rakan sejawatan beliau dari Thailand Srettha Thavisin, selepas bersama-sama mengadakan lawatan kerja di Kompleks CIQ (Kastam, Imigresen, Kuarantin) Sungai Golok di Narathiwat, hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kedua-dua negara juga memutuskan untuk mempercepatkan pembangunan dan pembersihan muara Sungai Golok, yang pastinya akan membantu rakyat Selatan Thailand dan di Kelantan daripada masalah banjir.

“Bila hubungan peribadi baik, hubungan antara kedua-dua kerajaan baik, manfaatnya akan sampai kepada rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, penjelasan lanjut mengenai pelbagai isu yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin, akan diumumkan dalam sidang media selepas ini. – Bernama