Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semasa lawatan kerja ke Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Golok. AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI, 03 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan perlu mengambil peluang daripada projek pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang-Sungai Golok dengan mewujudkan ruang perniagaan baharu yang selesa di kawasan sempadan Rantau Panjang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu antara yang dimaklumkan beliau kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang turut menyertai lawatan beliau bertemu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin hari ini.

Terdahulu, menerusi hantaran di laman sosial Facebook, Anwar berkata, beliau tiba di sempadan Sungai Golok di Narathiwat tengah hari tadi untuk bertemu rakan sejawat di Thailand, Srettha Thavisin dalam sesi pertemuan empat mata di Kompleks CIQ Sungai Golok.

Dalam pertemuan itu, ujarnya, beliau dan Srettha berbicara panjang berkaitan beberapa isu tertangguh.

“Alhamdulillah, kami berdua sepakat menyegerakan projek pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta menambah baik jambatan sedia ada yang telah dibina lebih 50 tahun lalu.

“Pembinaan jambatan ini bakal merancakkan kesalinghubungan kedua-dua negara serta memangkin pembangunan ekonomi di utara Kelantan dan Selatan Thailand, langsung mencipta limpahan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua kawasan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin hadir semasa lawatan kerja ke Sungai Golok dan Rantau Panjang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Golok. AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI, 03 OGOS 2024.

Tambah Anwar, dalam pertemuan itu juga, beliau dan Srettha turut mencapai kesepakatan untuk melaksanakan projek memperdalamkan muara Sungai Golok bagi mengatasi isu limpahan air sungai yang menjadi antara punca banjir di Kelantan dan Narathiwat.

Jelasnya, persefahaman itu menggambarkan komitmen jelas Kerajaan Malaysia dan Thailand untuk memastikan pertumbuhan ekonomi di sempadan kedua-dua negara berjalan pantas, sekali gus memberi laluan kepada usaha perdamaian di Selatan Thailand dan pembangunan di utara Semenanjung.

“Sebaik selesai taklimat, saya dan PM Srettha menyeberangi sempadan menuju ke Malaysia dan bergambar di hadapan Kompleks ICQS Rantau Panjang sebagai simbolik persefahaman dan persahabatan utuh kedua-dua negara,” katanya. – MalaysiaGazette