Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendesak kerajaan mengkaji semula cadangan penggabungan tiga bank iaitu SME Bank, Bank Pembangunan dan EXIM Bank.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, ini kerana ia akan memberi kesan negatif terhadap syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera serta komuniti perniagaan Melayu di negara ini.

Beliau berkata, penggabungan itu juga tidak sepatutnya diteruskan kerana fokus perniagaan ketiga-tiga bank tersebut berbeza selain mempunyai kumpulan sasaran berlainan.

“Bank Pembangunan berfokus kepada projek-projek berskala besar meliputi infrastruktur, maritim dan teknologi tinggi melibatkan pelaburan besar.

“EXIM Bank pula berfokus kepada PKS saiz sederhana yang ingin mengembangkan perniagaan ke pasaran eksport, manakala SME Bank memberi fokus kepada pembiayaan syarikat PMKS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Norsyahrin, sejak penubuhan SME Bank, pencapaiannya amat membanggakan di mana setakat ini, kira-kira 25,000 PMKS telah dibantu dengan kelulusan pembiayaan mencecah RM45 bilion.

“Dalam tempoh 2018 sehingga 2023 (6 tahun), sejumlah RM16 bilion pembiayaan telah diluluskan kepada syarikat PMKS.

“CEDAR yang juga anak syarikat SME Bank menunjukkan pencapaian memberangsangkan dan sejak ditubuhkan pada 2013, tidak kurang dari 80,000 usahawan telah dilatih melalui lebih 3,000 sesi latihan dan ‘business coaching’.

“Penggabungan ini juga bakal menyaksikan proses pengurangan kakitangan yang mana lebih dari 95 peratus kakitangan SME Bank terdiri daripada Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Selain itu, katanya, penggabungan ketiga-tiga bank hanya merugikan SME Bank yang melaksanakan pembiayaan berlandaskan Syariah sepenuhnya.

“Penggabungan ini dipercayai akan secara langsung memberi impak negatif kepada portfolio patuh syariah di SME Bank kerana perlu mengikut tatacara bank peneraju yang masih tidak mengamalkan pembiayaan Syariah.

“Ekoran itu, status SME Bank sebagai DFI patuh syariah juga dikhuatiri akan ditarik balik dan ini bakal menimbulkan sentimen buruk kepada lanskap pembiayaan Islam di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, penggabungan itu tidak memberi sebarang kelebihan dari perspektif kos dana memandangkan ketiga-tiga bank ini masih bergantung kepada sukuk atau bon.

“Ketiga-tiga bank ini masih bergantung juga kepada deposit korporat yang menjadi sumber dana untuk memberi pembiayaan kepada PMKS dan kumpulan sasaran.

“Ini bermakna kos dana masih tinggi dan kadar keuntungan yang kompetitif tidak dapat ditawarkan kepada PMKS.

Oleh kerana itu, katanya, pilihan terbaik adalah dengan melibatkan bank yang mempunyai CASA (akaun semasa dan akaun simpanan) seperti BSN atau Agrobank.

“Dengan cara itu kos dana dapat dikurangkan, seterusnya kadar keuntungan lebih kompetitif dapat ditawarkan kepada PMKS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette