KUALA LUMPUR – MIDF Research menjangka aliran masuk asing ke pasaran bon domestik akan berterusan, membawa kepada peningkatan ringgit Malaysia.

Menurut firma itu dalam nota penyelidikan hari ini, pertumbuhan asas dan perkembangan harga yang stabil dijangka menarik lebih banyak dana ke pasaran Asia, termasuk Malaysia.

“Berdasarkan pergerakan hasil cenderung sejajar dengan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kami menjangka hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) akan turut merosot berikutan pasaran mengambil kira penurunan kadar tambahan oleh Rizab Persekutuan AS,” katanya.

Oleh itu, MIDF Research mengunjurkan hasil MGS untuk tempoh 10 tahun akan stabil pada 3.60 peratus pada akhir tahun ini.

“Walaupun terdapat peningkatan pada Ogos 2024 kepada 3.76 peratus, kami masih menjangka hasil MGS untuk tempoh 10 tahun akan susut kepada 3.60 peratus menjelang akhir tahun,” katanya.

Selain itu, menurut MIDF Research, pegangan bon Malaysia oleh pelabur asing meningkat kepada RM288.1 bilion pada Ogos 2024, naik daripada RM279.1 bilion pada Julai 2024.

Jumlah aliran masuk asing ke pasaran hutang Malaysia melonjak kepada RM17.6 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2024.

Kenaikan bulanan sebanyak RM9.0 bilion pada Ogos 2024 sahaja melebihi kenaikan terkumpul sebanyak RM8.7 bilion dalam tempoh tujuh bulan sebelumnya.

“Peningkatan bulanan dalam pegangan asing pada Ogos 2024 adalah yang terbesar sejak Julai 2023,” katanya.

Selain itu, dengan pegangan asing dalam sekuriti hutang awam dan sukuk meningkat kepada RM273.7 bilion pada Ogos 2024 (Julai 2024: RM265.4 bilion), nisbah pegangan asing kepada jumlah bon kerajaan terkumpul meningkat kepada 22.6 peratus.

Paras ini bersamaan dengan paras pada Disember 2023 tetapi masih berada di bawah purata sebelum pandemik sebanyak 23.1 peratus pada 2019.

Sebaliknya, bahagian bon kerajaan dalam jumlah pegangan asing merosot kepada 95.0 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: 95.1 peratus) berikutan pegangan asing dalam bon korporat Malaysia naik 5.1 peratus bulan ke bulan kepada RM14.4 bilion (Julai 2024: RM13.7 bilion). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast