MANCHESTER – Zlatan Ibrahimovic terus menjadi pemusnah buat Saint-Etienne apabila meledak hatrik ketika Manchester United mencatat kemenangan 3-0 pada pertemuan pertama peringkat 32 terakhir Liga Europa, awal pagi tadi.

Saint-Etienne adalah antara mangsa kegemaran bintang veteran Sweden itu ketika beraksi bersama Paris Saint-Germain dengan tiga jaringan berkenaan menyaksikannya kini mengumpul 17 gol sepanjang 14 perlawanan bertemu kelab Perancis itu.

Kemenangan juga memberikan skuad bimbingan Jose Mourinho selangkah ke peringkat 16 terakhir menjelang perlawanan timbal balik di laman lawan, Khamis minggu depan.

Bagaimanapun, pada perlawanan kedua di Stade Geoffroy-Guichard nanti, United kehilangan khidmat Ander Herrera selepas dilayangkan kad kuning yang menyaksikannya digantung satu perlawanan.

Kejayaan menewaskan Saint-Etienne turut bermakna seorang lagi bintang United, Paul Pogba muncul pemenang pada aksi kompetitif pertama bertemu pasukan abangnya, Florentin dan hampir menjaringkan gol sebelum cubaannya sekadar menggegar palang.

Sebelum perlawanan, peminat Saint-Etienne menyalakan suar di Old Trafford dengan kepulan asap nyaris meletakkan pelawat di depan apabila hantaran kurang kemas Eric Bailly ke belakang hampir digunakan sepenuhnya Romain Hamouma.

Begitu pun, selepas Anthony Martial melakukan cubaan berbahaya kepada Stephane Ruffier dari jarak 22 meter, United memperoleh gol pembukaan pada minit ke-15 menerusi sepakan percuma Ibrahimovic.

United memiliki dua peluang terbaik untuk menggandakan jaringan namun rembatan voley Juan Mata diselamatkan penjaga gol Saint-Etienne, Stéphane Ruffier, berpunca daripada hantaran bijak Pogba pada minit ke-25.

Babak kedua berlangsung menarik dengan Mourinho melakukan beberapa pertukaran namun gol kedua hanya diperoleh pada minit ke-75 menerusi gerakan bijak pemain gantian, Marcus Rashford menjadi punca kepada jaringan kedua Ibrahimovic.

Ibrahimovic terus mengganas dan melengkapkan hatriknya ketika permainan berbaki dua minit menerusi penalti selepas dijatuhkan Kevin Theophile-Catherine. – MalaysiaGazette