Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Setiausaha Akhbar beliau, Regina Lee (kanan) pada majlis anugerah yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tindakan Korea Utara melarang warga Malaysia meninggalkan negara itu memberi mesej jelas kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menyokong permohonan Malaysia supaya perlawanan kelayakan Piala AFC 2019 di Pyongyang dipindahkan ke gelanggang berkecuali.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, AFC telah memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa mereka sudah menerima surat permohonan untuk memindahkan perlawanan antara Harimau Malaysia dan Korea Utara di venue lain.

“Mereka (AFC) meminta maklumat tambahan kenapa penilaian keselamatan itu dibuat melibatkan perlawanan timbal baik itu dan atas faktor apa Malaysia bertindak demikian.

“Saya rasa, maklumat yag dikehendaki oleh AFC sudah terjawab menerusi tindakan terbaharu Korea Utara ini (melarang warga malaysia meninggalkan Pyongyang).

“Sekiranya AFC tidak boleh melihat situasi itu, maka saya rasa adalah sangat tidak wajar sekiranya ia mahu perlawanan itu diteruskan di Korea Utara, tetapi saya yakin AFC akan memahami situasi ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Terdahulu beliau hadir bersama Timbalannya, Datuk M. Saravanan ke majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2016 di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak.

Ditanya mengenai pendirian KBS sekiranya AFC tidak mahu mempertimbangkan permohonan Malaysia, Khairy berkata, beliau tidak mahu menjawab soalan hipotetikal kerana ia keputusan AFC.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia akan terus bertegas dan tidak boleh membiarkan skuad Harimau Malaysia beraksi di Pyongyang.

“Kita masih menunggu pendirian AFC sama ada mereka akan menerima permohonan FAM yang kemudian perlu dirujuk kepada pihak berkuasa di Pyongyang untuk persetujuan di sana.

“Saya tidak mahu menjawab solan hipotetikal (jika AFC menolak permohonan FAM), biarlah dia (AFC) jawab dulu, apabila AFC sudah buat satu keputusan, barulah kita akan menilai tindakan seterusnya.

“Tindakan kerajaan melarang pasukan kita ke sana jangan dianggap campur tangan dalam urusan FAM, sebenarnya atas faktor keselamatan sahaja.

“Kerajaan juga meminta mana-mana persatuan sukan lain di negara ini tidak menghantar skuad atau kontinjen atlet ke Korea Utara. ” ujar beliau. – MalaysiaGazette