Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman memberikan penjelasan mengenai ciri terbaru tingkap keselamatan yang merupakan aspek tambahan dan pembaharuan yang terdapat pada Tren Generasi Baru RapidKL yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV) pada sesi Operasi Hari Pertama Tren Generasi Baru RapidKL Laluan Kelana Jaya di Ara Damansara. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 29 DISEMBER 2016.

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), khususnya operator Rapid KL meminta maaf kepada pengguna Aliran Transit Ringan (LRT) di laluan Kelana Jaya atas kelewatan tren malam tadi.

Dalam kenyataan di sini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata pihaknya telah mengalami masalah peralatan komponen isyarat dan komunikasi  di Pusat Kawalan Rail sekitar 8 malam.

“Keadaan itu telah mengganggu operasi 43 lagi tren di sepanjang aliran Kelana Jaya.

“Susulan daripada gangguan itu, kami terpaksa mengenalpasti dan menggerakkan pasukan kami untuk mengawal setiap tren yang beroperasi tanpa pemandu.

“Setiap tren yang terlibat dalam operasi semasa kejadian dipandu staff kami secara manual dan selamat ke stesen hentian berhampiran bermula 9.15 malam untuk kegunaan penumpang sedang menunggu,”katanya dalam kenyataan itu.

Tambah Zohari, tren di laluan Kelana Jaya telah dipandu secara manual bermula 9.15 malam sehingga tamat operasi lewat malam.

“Pemandu kami telah membawa tren itu dengan kelajuan agak perlahan ke setiap stesen hentian untuk mengekalkan jarak selamat antara setiap tren,” ujarnya lagi.

Sebanyak 40 buah bas Rapid KL telah digerakkan untuk penumpang tren KLR di setiap stesen utama.

“Pengumuman dibuat secara lebih kerap dalam setiap tren di stesen dan dalam media sosial untuk membimbing pelanggan kami, polis bantuan dan pasukan operasi Rapid rail turut diaktifkan untuk menguruskan pergerakan orang ramai di stesen LRT.

“Kami juga mengeluarkan kupon tuntut bayaran balik kepada pelanggan LRT yang disediakan perjalanan alternatif oleh Rapid Rail.

“Sekali lagi kami kesal atas segala kesulitan dan memohon maaf kepada pengguna Rapil Rail yang perjalanannya terganggu akibat insiden itu,” katanya sambil menegaskan operasi LRT Kelana Jaya kembali normal. – MalaysiaGazette