Menteri Wilayah Persekutuan , Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor(tiga kiri),Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz (dua kiri), Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi,Datuk Ibrahim Yusoff (dua kanan) bergambar pada Majlis Pengiktirafan Kebersihan Wilayah PErsekutuan Kuala Lumpur & MoU Bersama Pihak Kepentingan di Padang Bola Sepak Kompleks Sukan Desa Tasik, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 2 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Warga kota diminta supaya mengubah pemikiran dengan tidak menjadikan khidmat kontraktor pembersihan sebagai jalan mudah untuk mereka membuang sampah sesuka hati.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama dan orang ramai tidak seharusnya meletak tugas pembersihan kepada kontraktor yang dilantik pihak berkuasa tempatan semata-mata.

“Saya nak ingatkan, kebersihan itu penting dari aspek kehidupan manusia.

“kalau kita tengok apa yang berlaku di kota-kota lain sebagai contoh di Tokyo nak cari satu puntung rokok di jalan pun tiada.

“Nak cari sampah dan tong sampah pun tiada kerana mereka telah tanam satu semangat di mana kalau kamu ada sampah simpan sendiri dalam poket atau mana-mana kantung dan bawa balik rumah untuk dibuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengiktirafan Kebersihan Kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pagi ini.

Hadir sama pada majlis itu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Amin Nordin Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi , Datuk Ibrahim Yusoff.

Menteri Wilayah Persekutuan , Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melawat tapak pameran pada Majlis Pengiktirafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & MoU Bersama Pihak Kepentingan di Padang Bola Sepak Kompleks Sukan Desa Tasik, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 2 APRIL 2017
Menteri Wilayah Persekutuan , Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melawat tapak pameran pada Majlis Pengiktirafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & MoU Bersama Pihak Kepentingan di Padang Bola Sepak Kompleks Sukan Desa Tasik, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI , 2 APRIL 2017

Mengulas lanjut Tengku Adnan berkata, warga kota tidak boleh lagi mengharapkan kontraktor pembersihan menggalas tanggungjawab membersihkan bandar dan kawasan mereka sebaliknya, kesedaran perlu diwujudkan dalam diri mereka sendiri.

“Mereka ini lihat kita ada bagi kontrak kepada tukang angkat sampah, nak cuci jalan pun kita ada tukang cuci jalan, jadi mereka ambil mudah.

“Jadi saya nak ingatkan mereka kena sama-sama pikul tanggungjawab dengan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa langkah mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bersih daripada sampah sarap menjelang 2020 tidak akan berjaya sekiranya warga kota tidak mengubah sikap dalam aspek menjaga kebersihan.

Katanya, walaupun sudah ada penguatkuasaan untuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata namun, kerajaan tidak berhasrat untuk menguatkuasakannya.

“Undang-undang dah ada cuma kita tidak mahu menguatkuasakannya.

“Kita tidak mahu ia dijadikan sebagai sayu kaedah menyaman rakyat sebaliknya mahu mendidik mereka supaya mempunyai kesedaran sendiri terhadap kebersihan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan