Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin bersalaman dan menyerahkan bendera UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai simbolik konvoi larian UMNO yang memasuki negeri Selangor sempena sambutan Hari UMNO ke 71 di hentian Rehat dan Rawat (RNR) Gombak. foto SAFWAN MANSOR, 09 MEI 2017

GOMBAK – Tan Sri Noh Omar menyatakan keraguannya terhadap sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang secara tergesa-gesa mahu melaksanakan projek di Paya Indah Wetlands walaupun menerima banyak bantahan dan masih tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena apabila Kerajaan Negeri Selangor masih berdegil mahu meneruskan projek walaupun mengetahui kesan kepada alam sekitar di kawasan tersebut.

“Jadi kerana kerakusan kerajaan negeri nak mencepatkan projek di Wetland ini, mungkin ada sebab-sebab tertentu, mungkin nak dekat pilihan raya ini, mungkin ada perkara tertentu yang mereka bincang dengan pihak pemaju, sebab itu mereka nampaknya tergesa-gesa melaksanakan projek ini,” kata Noh kepada wartawan.

Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor ditemui ketika program penyerahan bendera Sang Saka Bangsa daripada Badan Perhubungan UMNO Pahang di Hentian Rehat Plaza Tol Gombak hari ini.

Noh juga membidas kerajaan negeri yang menggunakan kuasa mereka dengan membelakangkan pihak berkuasa apabila tidak meminta kelulusan Majlis Pembangunan Fizikal Negara dan berkeras untuk meneruskan projek tersebut.

“Pulau Indah ini memang kuasa kerajaan negeri, kita walaupun Majlis Pembangunan Fizikal Negara tidak membincangkan dan meluluskan lagi projek ini tetapi apa pun kita kena akur, ini adalah kuasa kerajaan negeri,” terang beliau.

Menurut Noh, pergolakan pembangkang sengaja diwujudkan bertujuan untuk menutup perpecahan dalam kalangan mereka dengan harapan rakyat dapat melupakan kesalahan yang dilakukannya itu.

“Mereka sengaja timbulkan isu pergolakan ini supaya rakyat lupa bahawa Pas sudah memutuskan hubungan dengan mereka, supaya rakyat juga lupa bahawa pemimpin mereka hari ini sedang berdepan pendakwaan SPRM dan supaya rakyat lupa bahawa pembangunan di Selangor di Wetland sebagai contoh yang dibuat tidak mengikut peraturan akan dilupakan oleh rakyat,” katanya.

Jelasnya, strategi pembangkang adalah jika tidak dapat menyelesaikan masalah, mereka akan mencipta masalah untuk mengelirukan rakyat.

Mengenai sambutan ulang tahun ke-71 UMNO pada 11 Mei ini, Noh memberitahu, UMNO Selangor akan menghantar 25,000 ahli dan pendokong parti ke himpunan di Bukit Jalil.

“Di Selangor kita diminta hantar lebih kurang 20,000 orang, oleh kerana Selangor ini dekat dengan Putrajaya maka kami diberi tanggungjawab agak besar di mana diminta dinaikkan satu bahagian seribu orang.

“Kita ada 22 bahagian jadi keseluruhan lebih kurang 22,000 orang kemudiaan tidak termasuk daripada Wanita lebih 4,000, jadi semuanya lebih kurang 25,000 orang” ujarnya.

Beliau juga berharap semangat yang dibawa semasa menyambut ulang tahun ini dapat diterjemahkan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, khususnya dalam usaha memenangi semula Selangor yang sudah dua penggal diperintah pembangkang.

“Kita berharap semangat UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional tidak berhenti di stadium sahaja tapi hendaklah dibawa ke kawasan masing-masing untuk kita kuatkan jentera kita menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette.