SEOUL – University Sains dan Teknologi Pyongyang (PUST), satu-satunya universiti yang dibiayai orang Barat di Korea Utara akan memulakan semester depan tanpa kakitangan akademik Amerika Syarikat (AS).

Ini kerana universiti itu dikatakan gagal mendapatkan pengecualian dalam larangan perjalanan ke AS yang berkuatkuasa Jumaat lalu.

Tindakan berkenaan dijangka memberi tempias terhadap majoriti korikulum akademik di institusi itu kerana majoritinya berasaskan bahasa Inggeris.

PUST diwujudkan pada 2010 oleh warga Amerika yang menetap di Korea Utara dengan misi membantu generasi muda negara itu mempelajari kemahiran memodenkan negara terpencil dan berhubung dengan dunia luar.

Pada pertengahan Julai lalu AS melarang rakyat negara itu melawat Korea Utara ekoran kematian seorang pelajar warganya selepas ditahan Korea Utara semasa melancong.

Otto Warmbier ditahan dan dihukum selepas dituduh mengeluarkan poster propaganda tahun lepas.

Warmnier kemudian jatuh koma dan meninggal dunia selepas dibebaskan kepada AS dan punca kematiannya masih belum jelas.

Warga Amerika yang tinggal di Korea Utara dinasihati meninggalkan negara itu.

Sejak itu, ketegangan di semenanjung Korea meningkat secara mendadak.

Korea Utara telah menjalankan beberapa ujian peluru berpandu balastik yang disifatkan sebagai provokatif.

Ia termasuk pelancaran dua peluru berpandu balistik antara benua dan satu ujian peluru berpandu jarak sederhana yang terbang di ruang udara Jepun.

Sebanyak 130 orang warga asing termasuk ahli keluarga dan kakitangan menetap di Korea Utara dan 60 orang daripada mereka merupakan rakyat Amerika.

Mereka tidak mendapat kebenaran khas untuk tinggal di situ dan semua mereka telah meninggalkan Pyongyang.

“Aktiviti mengajar dan karakter unik sekolah yang berasaskan kepada bahasa Inggeris telah terjejas akibat larangan ke atas AS.

Sekolah yang dibuka oleh gabungan penganut Kristian dikejutkan dengan penahanan dua kakitangan mereka oleh rejim Korea Utara pada tahun ini.

Kedua-dua kakitangan itu diituduh telah bertindak bertentangan dengan kepentingan negara pimpinan Kim Jong-un.

Pelancong AS yang terakhir meninggalkan Korea Utara ialah pada Khamis lalu.

Korea Utara merupakan satu-satunya negara di dunia yang mana AS melarang rakyatnya melancong ke negara itu.

Wartawan dan sukarelawan berkaitan misi kemanusiaan digalakkan memohon kebenaran khas.

Dalam pada itu sehingga hari ini AS dikatakan belum mengeluarkan sebarang garis panduan mengenai cara memohon pengecualian terhadap larangan itu.

Ia menyebabkan universiti dan ahli akademiknya berada dalam keadaan tidak menentu bagaimana dan bila mereka dapat memohon pengecualian daripada sekatan itu.

AS bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mengeluarkan komen secara spesifik dalam isu tuntutan pengecualian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast