Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai melepaskan pasukan Jabatan Pengangkutan Jalan pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 di MyTown Shopping Centre, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan ops bersepadu sempena sambutan Tahun Baru Cina selama 15 hari.

Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, kempen dan ops yang bermula semalam hingga 23 Februari ini melibatkan Ops Selamat oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Ops Bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pelbagai agensi berkaitan.

Beliau berkata, Ops Selamat akan memberi tumpuan kepada konsep Ronda dan Statik di kawasan kerap berlaku kemalangan.

“Malah pihak polis juga akan melakukan pemantauan udara bersama Pasukan Gerakan Udara PDRM yang akan membantu dalam penugasan trafik dengan menunjukkan omni-presence.

“Ops Bersepadu pula seperti lazimnya akan bekerja dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan pemeriksaan ujian air kencing bagi pemandu bas di 30 terminal bas.

“Objektif utama penguatkuasaan adalah untuk meningkatkan Perception of Being Caught di kalangan pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya dan ops bersepadu sempena Tahun Baru Cina itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, seperti setiap tahun, terdapat beberapa kawalan yang akan dilaksanakan menjelang setiap musim perayaaan.

Jelasnya, ini termasuk larangan ke atas kenderaan barangan tertentu pada 14 dan 15 Februari ini serta 24 dan 25 Februari ini.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kawasan lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri akan dihenti, semua jentera dan peralatan sepanjang tempoh operasi ini dijalankan.

“Kementerian juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 kilometer/jam (km/j) dan jalan negeri bagi tempoh sama,” katanya. – MalaysiaGazette