Tan Sri Musa Aman
Musa Aman

KUALA LUMPUR – Kediaman bekas Menteri Besar Sabah, Tan Sri Musa Aman di Luyang, Kota Kinabalu diserbu sepasukan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Difahamkan beberapa dokumen telah diambil dari rumah itu oleh pasukan penyiasat SPRM untuk membantu siasatan kes rasuah.

Bagaimanapun, lapor The Star Online, ketika serbuan itu dibuat, Musa dan ahli keluarganya dikatakan tiada di rumah.

Laporan itu juga berkata, SPRM enggan mengulas jika kes tersebut melibatkan RM20 juta yang didakwa diguna untuk menambah sokongan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri Sabah selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan pada 9 Mei lalu.

Semalam, polis Sabah telah merakamkan percakapan sembilan saksi berkaitan siasatan terhadap laporan polis ke atas Musa yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, pihaknya juga berusaha untuk merekodkan kenyataan Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berhubung kes itu, tetapi difahamkan bekas Ketua Menteri itu tidak berada di Kota Kinabalu ketika ini. – MalaysiaGazette