Basuki Tjhaja Purnama atau Ahok. foto Agensi

JAKARTA – Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjhaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok akan dibebaskas dari penjara Januari tahun depan.

Ahok dihukum penjara selama dua tahun kerana didapati bersalah menghina Islam tetapi hukuman itu dikurangkan dua bulan sempena Hari Kemerdekaan negara itu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia dan Undang-Undang Indonesia, Ade Kusmanto.

“Ahok dapat pengurangkan hukuman dua bulan tetapi dia tidak bebas terus. Dia akan dibebaskan pada Januari 2019,” katanya yang dipetik oleh kompas.com.

Ahok dipenjara pada Mei tahun lalu.

Pengurangan hukuman itu adalah kali kedua diperoleh Ahok selepas hukumannya dikurangkan sebanyak 15 hari sempena Krismas tahun lalu.

Dengan pengurangan itu, Ahok layak untuk memohon parol kerana dia sudah menjalani dua pertiga hukuman di dalam penjara.

Tetapi Ahok, yang menghasilkan buku berjudul Kebijakan Ahok semasa dalam tahanan mahu menghabiskan hukuman di penjara. – MalaysiaGazette