Bekas Ketua UMNO merangkap Ahli Parlimen Rembau, Yb Khairy Jamaluddin berjalan keluar selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan beliau akan meninggalkan parti itu. 

“Kalau saya nak keluar UMNO tak akan saya datang mesyuarat Biro Politik hari ini,” katanya ketika ditemui di lobi Ibupejabat UMNO di sini hari ini.

Selain Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman, beliau salah seorang yang disenaraikan 17 pemimpin UMNO yang akan meninggalkan parti itu. 

Ahli Parlimen Rembau itu mengulangi nasihatnya kepada semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk kekal bersama parti dan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa. 

“Saya harap semua wakil rakyat BN kekal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa.

“Rakyat mahu melihat BN sebagai pembangkang yang kredibel kita kena pastikan itu,” tambahnya. 

Sebelum itu, ramai percaya dengan desas-desus mengatakan bahawa Khairy akan meninggalkan parti itu kerana beliau dilihat lantang memberi teguran kepada kepimpinan partinya sendiri selepas PRU-14.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan