Datuk Ganason Periathamby
Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Antirasuah dan Pematuhan Korporat (CACCC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Ganason Periathamby bercakap pada media Temubual Khas berkaitan Seminar "Gearing Up For Corporate Liability" di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masa korporat dan syarikat swasta lebih berhati hati dalam menjalankan urusan masing masing.

Ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau setiap transaksi dan urusan yang membabitkan pelbagai lapisan daripada pengurus tertinggi sehingga kakitangan bawahan dan pihak ketiga.

Bagi memperkasa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694) pada April lalu, suruhanjaya itu telah melaksanakan Rang Undang-undang SPRM (Pindaan) 2018 berkaitan Liabiliti Korporat yang diluluskan di Dewan Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Antirasuah dan Pematuhan Korporat (CACCC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk P. Ganason berkata, Akta 694 telah dipinda dan menambahbaik dengan mewujudkan Seksyen 17 (A) yang akan dikuatkuasakan terhadap semua organisasi korporat dan swasta di Malaysia.

“Ekoran pindaan itu, kita akan mengadakan seminar bertajuk “Gearing Up For Corporte Liability’ melibatkan penyertaan semua pemain industri korporat dan swasta dari kecil hingga ke gergasi di negara ini.

“Seminar ini bertujuan memastikan setiap pihak berkepentingan atau organisasi memahami pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat yang akan dianjurkan oleh SPRM melalui Pusat Antirasuah dan Pematuhan Korporat (CACCC).

“Selain memberi penerangan mengenai peruntukan undang-undang dalam Seksyen 17(A) itu, seminar separuh hari itu juga akan menerangkan inisiatif dan langkah pencegahan yang boleh diambil sesebuah organisasi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang liabiliti korporat atas kesalahan rasuah,” katanya dalam satu temu bual khas berkaitan seminar itu dengan media di Akedemi Pencegahan Rasuah Malaysia Jalan Duta di sini.

Setakat ini 20 organisasi korporat telah mengesahkan penyertaan di Heads of States Seminar Room Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 9.30 pagi hingga 2.30 petang pada 10 Oktober ini dengan yuran penyertaan sebanyak RM400 seorang.

Pendaftaran seminar telah dibuka 5 September lalu dan SPRM yakin mencapai sasaran 250 peserta menjelang tarikh tutup 4 Oktober depan dengan menggalakkan korporat dan syarikat swasta tanpa mengira latar belakang perniagaan menyertai program itu.

Empat panel dari SPRM akan memberikan input dan penerangan mengenai beberapa topik yang menyentuh liabiliti korporat antaranya Datuk Sutinah Sultan mengenai impak rasuah dalam perniagaan.

Ganason juga akan menerangkan mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil organisasi untuk melindungi majikan dari rasuah dan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Norzilati Izhani Zainal akan menyentuh mengenai pengenalan kepada undang-undang liabiliti korporat.

“Kita sudah pasti akan mengadakan beberapa siri susulan selepas seminar ini untuk mendekati lebih banyak syarikat korporat jika mendapat sambutan pada program julung kali ini nanti.

“Kalau lihat sesebuah syarikat besar, orang nombor satunya sentiasa lantang bersuara dia berpegang kepada prinsip antirasuah.

“Walhal pengurusan tertinggi dan kakitangan bawahan serta agen syarikat ketiga termasuk kontraktor yang berurusan dengannya tidak tahu pasal perkara itu.

“Ini yang kita mahu pastikan mereka sentiasa sedar kerana kuatkuasa Seksyen 17(A) ini akan memberikan impak besar kepada prestasi perkembangan dan kejatuhan saham yang tidak boleh dipulihkan jika ditahan terlibat rasuah walaupun belum didakwa dimahkamah.

“Lagipun pindaan dan pengenalan Undang-undang Liabiliti Korporat tepat pada masa kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini kebanyakan yang ditahan dan didakwa di mahkamah ialah semuanya individu bawahan dan bukannya bos besar atau pengurusan syarikat itu,” tegasnya.

Tambah beliau, antara inisiatif yang boleh diimplementasikan ialah Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ISO 37001) dan mengenalpasti potensi risiko rasuah yang boleh serta bakal berlaku dalam sesebuah orgaisasi dengan menggunakan Corruption Risk Management (CRM) sebagai alat membantu organisasi mengenal pasti risiko rasuah dalam organiassi masing-masing.

Seksyen 17(A) yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang 2020 juga membolehkan sesebuah syarikat bertanggungjawab sepenuhnya perlakuan jenayah dan bukannya sivil sekiranya kakitangan bawahan melakukan kesalahan rasuah sama ada dengan atau tanpa disedari syarikat.

Katanya pihaknya telah mengusahakan membawa pindaan ini sejak empat tahun lalu dan kini teruja kerana perlakuan rasuah di syarikat korporat dan swasta tidak dapat disembunyikan lagi dari hukuman.

“Lebih penting lagi syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang selama ini menghadapi pertuduhan rasuah sebagai pihak kerajaan juga akan dikenakan tindakan sebagai korporat/swasta menerusi Seksyen 17(A) ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggalkan Jawapan