Foto Instagram Syafeek Ikhwan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Syafeek Ikhwan mengharumkan nama Malaysia di luar negara apabila dinobatkan sebagai juara kategori solo pertandingan nyanyian, i- Sing World 2018 di Paris, Perancis, malam tadi.

Syafeek, 30, membawa lagu Lagu Kau Kekasihku nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk membawa pulang wang tunai RM10,333.50 (AS$2,500), berserta trofi dan tiket penerbangan ke Sepanyol untuk membuat persembahan di pentas akhir, i-Sing World 2019.

Menerusi Instagramnya, Syafeek yang menjuarai i -Sing Malaysia pada Julai tahun lalu untuk melayakkannya bersaing di peringkat antarabangsa itu sebak apabila lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang.

“Dengan izin Allah dan berkat doa semua, ini sahaja yang mampu saya hadiahkan untuk negara. Hanya Allah yang tahu sebak dalam hati saat berkumandang lagu, Negaraku di dalam dewan yang sarat dengan warga dari pelbagai negara di tengah Kota Cinta.

“Terima kasih untuk kata semangat yang diberikan. Terima kasih juga untuk sumbangan dan segala-galanya. Ini untuk Malaysia. Ia mungkin tidak seberapa daripada insan yang hampir tidak disedari kelibatnya. Terima kasih,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung selama empat hari itu bermula dari 19 September hingga 23 September itu disertai 44 peserta dari lebih 40 negara, sebelum hanya 18 peserta layak ke pentas akhir.

Syafeek yang pernah hadir dengan single, Tanpa Arah dan Teka Teki adalah bekas graduan Universiti de Nice Sophia Antipolis, Perancis.

i-Sing World yang membariskan juri profesional terdiri daripada Diane Tell, Kitari Mayele, Ysabelle Arfi dan Rio Ling, manakala Chux Oliveira bertindak sebagai ketua juri. – Malaysia

Tinggalkan Jawapan