Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Rina Mohd Harun (dua kiri) bergambar bersama Hasnita Hashim (barisan hadapan, tiga dari kiri) dan barisan Lembaga Pengarah baharu pada sidang media khas di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar menafikan dakwaan pelantikan Pengerusi dan enam Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu adalah kroni Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya Menterinya, Rina Mohd. Harun berkata, pelantikan tersebut berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas mereka dalam bidang masing-masing.

Beliau menegaskan, kesemua mereka tidak melibatkan lantikan politik dalam menjaga integriti kerajaan.

“Biasalah orang akan bercakap. Lantik orang ini, kata ini. Lantik orang itu fikir lain pula. Saya meraikan pendapat yang berbeza.

“Pelantikan mereka bukan kerana kroni atau lantikan politik untuk menjaga integriti. Kita lantik mereka yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang usahawan, pelaburan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Mara di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Mara yang baharu, Dr. Hasnita Hashim.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kesemua Ahli Majlis Mara baharu itu diberi tempoh sebulan sebelum tampil mengemukakan perancangan mereka.

Keutamaan kementerian jelas Ahli Parlimen Titiwangsa itu adalah terus memperkasakan Mara dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan dan graduan berkualiti pada akan datang.

“Kesemua agensi di bawah Mara bukan sahaja dikekalkan malah penambahbaikan akan dilakukan dalam menjaga kepentingan semua yang terlibat.

“Kementerian akan menyasarkan 10,000 usahawan baharu pada masa akan datang selain mengekalkan Mara Digital menerusi beberapa penambahbaikan,” katanya.

Hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Hasnita Hashim sebagai Pengerusi Mara bersama enam lagi ahli lembaga pengarah yang baharu.

Enam ahli  Lembaga Pengarah tersebut ialah Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, Dr Nungsari Ahmad Radhi, Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin, Datuk Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff and Zakri Khir.

Semua pelantikan berkuatkuasa 1 Oktober ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan