PNB
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad bercakap ketika sesi sidang media pada Pelancaran unit amanah harga berubah dan penjenamaan semula dana-dana tetap ASNB di Grand Ballroom, Grand Hyatt Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tidak berpuas hati dengan prestasi sesetengah syarikat terasnya yang ketinggalan di belakang penanda aras FTSE KLCI Bursa Malaysia, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mahu membantu syarikat-syarikat tersebut mencapai potensi sebenar, kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Syarikat teras adalah syarikat-syarikat yang mana PNB memiliki lebih 10 peratus pegangan atau nilai melebihi RM1 bilion.

“Sebelum ini atau pada tahun lepas, kami memberi fokus kepada syarikat-syarikat strategik (syarikat-syarikat yang mana PNB memiliki kawalan pegangan saham) dan telah berjaya melakukannya jadi sekarang kami mahu beralih kepada syarikat-syarikat teras pula.

“Jika dilihat pada KLCI, terdapat saham-saham yang tertinggal di belakang contohnya Telekom Malaysia (TM) yang mengalami kemerosotan prestasi sehingga 45 peratus setakat ini, kami faham cabaran yang dihadapi mereka dan disebabkan itu kami mahu membantu mereka,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran dua dana baharu PNB serta pembentangan prestasi PNB bagi suku ketiga 2018 di sini hari ini.

Selain TM, Axiata dan beberapa syarikat pembinaan juga turut ketinggalan daripada segi prestasi di Bursa Malaysia, kata Abdul Rahman.

Jelas beliau, PNB telah bermula dengan terlibat sama dalam mentransformasi Sapura Energy Bhd.

“Kami telah bermula dengan memberi sokongan dan terlibat dalam transformasi Sapura Energy dan kami percaya sekiranya pelan tersebut dilaksanakan dengan betul, ia akan menghasilkan keputusan yang sangat positif pada masa akan datang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berbeza, Abdul Rahman berkata, rundingan untuk mengambil alih Battersea Power Station di London mungkin dilanjutkan.

“Kami masih dalam proses memuktamadkan urusniaga, buat masa sekarang kami hampir menyelesaikan due-diligence dan berharap kami sampai ke tahap bersetuju untuk memuktamadkannya.

“Mungkin pada suku keempat nanti kita akan dapat gambaran yang lebih jelas,” katanya.

Pada Januari lalu, PNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat cadangan untuk membeli sebuah hartanah di fasa kedua Battersea Power Station pada harga RM8.8 bilion. – MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan