Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan tata etika dan arahan semasa berlangsung Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada Sabtu ini.

Pusat penamaan calon bagi PRK tersebut adalah bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) memperuntukkan mengenai perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan semasa Hari Penamaan Calon seperti penggunaan alat muzik/pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan.

Orang ramai juga adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

“SPR berharap proses penamaan calon akan berjalan lancar dan tidak mengganggu ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, tempoh masa untuk mengemukakan Kertas Penamaan Calon bermula dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan