Tiga individu termasuk seorang pelajar sekolah nyaris maut selepas kereta dinaiki bertembung dalam nahas di Jalan Tehel-Bemban, Jasin Melaka pagi tadi.

JASIN – Tiga individu termasuk seorang pelajar sekolah nyaris maut selepas kereta dinaiki bertembung dalam nahas di
Jalan Tehel-Bemban di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa, G. Jamunarani, 41, yang memandu kereta jenis Nissan Sentra bagaimanapun patah tangan kanan manakala anaknya, N. Deepthikka, 13, cedera mata kiri.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, seorang lagi mangsa, iaitu pemandu Nissan Almera, Nur Putra Assyarafaiin Zuhari, 22, pula mengalami sakit dada.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas Nissan Almera yang sedang dalam perjalanan dari arah Melaka ke Bemban dipercayai hilang kawalan di selekoh sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Ia kemudian bertembung dengan pemandu Nissan Sentra yang sedang membawa anaknya ke sekolah di Banda Hilir menyebabkan kesemua mereka cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette