Gobind Singh Deo.
Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berpandangan kerajaan harus menimbang untuk meminda Akta Prosiding Kerajaan 1956 bagi membatalkan atau menyekat hak kerajaan memfailkan saman fitnah ke atas warganya.

Beliau berkata jaminan hak bersuara secara bebas membenarkan rakyat untuk menyatakan pendapat mereka sama ada memihak mahupun bertentangan dengan kerajaan yang mereka pilih.

“Tambahan pula, saya berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya dianggap sebagai sebuah badan awam yang harus bersikap terbuka kepada teguran.

“Ini adalah inti pati demokrasi yang seharusnya membolehkan kerajaan tertakluk kepada pengawasan dan komen rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Gobind mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Rabu lepas bahawa kerajaan berhak untuk mengambil tindakan saman fitnah ke atas individu selepas merujuk peruntukan Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Susulan keputusan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata kerajaan Pakatan Harapan akan meminda undang-undang berkaitan bagi menghalang mana-mana kerajaan, sama ada persekutuan atau negeri, memfailkan saman fitnah ke atas individu.

Gobind berkata beliau turut menyokong cadangan Hanipa yang mahu mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji penghakiman Mahkamah Persekutuan itu selain meneliti akta tersebut sebelum mencadangkan pindaan yang sewajarnya kepada Jemaah Menteri.

— BERNAMA